Monday, August 16, 2010

Kunjungan ke Palestin membuka mata mengenai keadaan sebenar di wilayah itu

sumber : Sinar Harian

Kunjungan ke bumi Palestin ke Gaza ternyata mengubah persepsi penulis terhadap wilayah Gaza yang sedang dilanda konflik itu.

Kesempatan meluangkan masa selama lima hari di Gaza membuktikan maklumat yang dibaca dan diterima - terutama menerusi media Barat mengenai Gaza - jauh menyimpang daripada keadaan sebenar di sana.

Memang benar, penduduk Gaza hidup dalam serba kesederhanaan dan kesusahan akibat sekatan yang dikenakan rejim Israel ke atas wilayah itu sejak 2007.

Jika tidak kerana sisa runtuhan bangunan yang dapat dilihat sepanjang jalan, pasti pengunjung tidak mengetahui bahawa setahun lalu wilayah itu pernah melalui peperangan ganas selama 22 hari yang dilancarkan Israel.

Peperangan itu mengorbankan hampir 1,500 nyawa dan memusnahkan lebih 20,000 infrastruktur pada Disember 2008 hingga Januari 2009.

Keadaan di Gaza jauh lebih tenang berbanding sangkaan awal semua peserta Misi Konvoi Darat ke Gaza anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) yang menamatkan lawatan ke Gaza, 14 Ogos lalu.

Boleh dikatakan, bandar Gaza merupakan bandar yang selamat, dan satu-satunya kebimbangan apabila berada di wilayah itu ialah ketidaktentuan ancaman dari luar iaitu bila peluru berpandu Israel akan membedil hospital, sekolah dan kediaman rakyat yang tidak berdosa.

Semasa berjalan menyusuri lorong-lorong yang terpaksa bergelap pada waktu malam akibat catuan bekalan elektrik, tiada sedikit pun rasa gusar mengenai keselamatan diri kerana penduduk wilayah itu penuh kesantunan dan sentiasa memuliakan tetamu luar yang datang.

Tidak keterlaluan jika dikatakan bangsa Palestin di Gaza adalah bangsa yang istimewa. Di sebalik kesusahan hidup dan penindasan yang dilalui mereka selama 62 tahun, wajah mereka tidak pernah lekang dengan senyuman.

Layanan baik mereka terhadap konvoi kami tidak dapat dizahirkan dengan kata-kata, dan ucapan terima kasih seperti tidak mencukupi untuk menyatakan penghargaan kami kepada mereka.

Walaupun sifat mereka penuh dengan kelembutan terhadap tetamu yang mengunjungi wilayah itu, namun semangat tinggi mereka dalam perjuangan tetap dapat dirasai melalui lukisan grafiti dan wajah-wajah pejuang syahid yang memenuhi segenap pelosok Gaza.

Kami hanya mampu berdoa kepada Allah supaya melindungi rakyat Palestin daripada kekejaman rejim Zionis.

Melihat keseluruhan keadaan di Gaza, penulis yakin wilayah itu mempunyai potensi besar untuk membangun dari segi penghasilan produk dan pelancongan kerana bumi bertuah itu dikurniakan tanah yang subur dan pantai yang indah.

Semua tanaman yang diusahakan tumbuh subur tetapi malangnya produk berkualiti tinggi itu tidak dapat dieksport ke dunia luar kerana Gaza ditindas melalui sekatan ekonomi oleh rejim tidak berperikemanusiaan Zionis.

Selain itu, hampir 90 peratus penduduk Gaza mendapat pendidikan tinggi, menjadikannya antara kawasan paling cerdik di dunia dan membekalkan wilayah itu dengan modal insan yang diperlukan bagi membangunkan kawasan itu.

Bukan hanya orang dewasa, malah kanak-kanak Gaza pada usia muda menyerlahkan kecerdikan mereka dan terlihat di wajah-wajah comel itu semangat yang tinggi untuk berjaya.

Mungkin itulah yang ditakuti Israel sehingga menyebabkan mereka menyeksa dan cuba menghapuskan bangsa Palestin yang dikhuatiri dapat menandingi mereka dalam kekuatan ekonomi dan politik di rantau Timur Tengah.

Mungkin itulah sebabnya Gaza digembar-gemburkan sebagai wilayah bergolak dan tidak selamat, sedangkan ancaman itu datang daripada bangsa terkutuk Israel sendiri.

Khalil, wakil masyarakat Gaza yang pening kepala melayan karenah kami sepanjang berada di Gaza, apabila diberitahu mengenai bagaimana pandangan awal peserta bercanggah dengan keadaan sebenar di Gaza, memberikan reaksi berikut.

“Memang itulah yang cuba dilakukan Israel dan kuasa besar, mereka cuba memberikan imej buruk kepada Gaza. Kami mengharapkan bantuan anda untuk menyampaikan kepada dunia mengenai keadaan sebenar di Gaza,” katanya.

Amanah itu dipegang oleh penulis dan peserta lain yang diselubungi kesedihan dan kesayuan semasa meninggalkan Gaza kerana kami telah jatuh cinta dengan bumi Palestin itu dan seluruh yang ada di dalamnya.


0 comments:

Ajukan Soalan Kepada Admin

 
Cheap Web Hosting | Top Web Host | Great HTML Templates from easytemplates.com.